KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN PUASA

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله
وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد

KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN PUASA

       Takrif puasa, puasa mempunyai keistimewaan yang tidak dapat pada ibadah yang lain. Ini terbukti apabila Allah menyandarkan puasa itu kepada-Nya. Allah SWT telah berfirman dalam hadith Qudsi yang bermaksud “puasa itu adalah untukku, aku lah yang akan membalasnya”. Sandaran puasa Allah itu sudah cukup untuk menunjukan kemulianNya, sebagaimana kemulian Baitullah yang juga disandarkan kepada-Nya.

 Puasa mengikut syarak : menahan diri dari melakukan perkara-perkara tertentu pada waktu yang ditetapkan terhadap orang-orang tertentu dengan syarat khas disertai dengan niat. Diantara perkara larangan itu ialah makan dan minum, bersetubuh dengan isteri pada siang hari iaitu dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, dengan niat untuk menjalankan perintah Allah dan mendekatkan diri dengan-Nya. Ramadhan diambil daripada perkataan ar-ramdhu yang bererti bersantang panas. Menurut Tafsir Al-Qurtubi, orang terdahulu sebelum menamakan sesuatu bulan mengambil kira musim dan keadaan pada bulan tersebut. Kebetulan Bulan Ramadhan pada ketika itu panas, ada juga ulama yang mengatakan ia bererti kepanasan yang membakar dosa-dosa dengan melakukan amal soleh,( wallahuaklam).

Puasa adalah salah satu daripada Rukun Islam, satu fardu dari Allah. Terdapat banyak dalil tenteng kewajipan puasa, Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak Ulama’. Puasa Ramadhan disyariatkan setelah Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, pada tahun ke dua Hijrah. Rasullulah saw sempat merasai sembilan kali musim Ramadhan, bermula dari dua hingga sepuluh Hijrah.

DALIL WAJIB PUASA
Al-Quran:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. [Al-Baqarah 2:183]

Hadith:
Daripada Abdullah Bin Umar R.A.meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda ( maksudnya) Islam itu dibina atas Lima Rukun : Mengucap Dua Kalimah Syahadah, Solat Lima Waktu, Berpuasa Dibulan Ramadhan, Menunaikan Haji Bagi Yang Berkemampuan.[HR Al-Bukhari dan Muslim]. Telah ijmak para Ulama bahawa puasa itu salah satu daripada Rukun Islam. Telah dimaklumi bahawa ianya adalah sebahagian daripada agama. Mereka juga bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengingkari kewajipanNya adalah kafir.

KEUTAMAAN PUASA
Keutamaan puasa adalah disebabkan oleh dua perkara:
Pertama : Ia adalah rahsia dan merupakan amalan batin yang tidak diketahui oleh orang ramai dan jauh daripada perasaan riya’
Kedua : Ia merupakan penentangan kepada musuh Allah iaitu Syaitan. Ini kerana Nafsu Syahwat adalah alat kepada Syaitan. Ia menjadi kuat dengan makan dan minum. Maka sekiranya ia sentiasa dibajai dan disuburi, selagi itulah Syaitan akan terus tersemai di situ. Syaitan akan sentiasa berulang alik kepadanya. Jadi meniggalkan perkara yang menyuburkan nafsu syahwat akan menyempit jalan Syaitan.
Terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadith Nabi S.A.W yang menyebut tentang kelebihan puasa. Ini kerana puasa di dalam Islam mempunyai pelbagai kebaikan dan kelebihan.

ANTARA KELEBIHAN YANG PENTING IALAH:

1. Puasa membawa kepada ketaqwaan, iaitu  dengan menunaikan perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan niat mencari keredaan-Nya. Allah SWT telah berfirman maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. [Al-Baqarah 2:183]. Ahli Tafsir berkata : jika Allah berkata “la’alla” (semoga) ia bermaksud kewajipan. Ayat ini membayangkan jika kamu melakukannya dengan syarat dan peraturan, kamu akan mencapai ketaqwaan. Taqwa merupakan satu sifat yang paling mulia dan paling tinggi yang dapat dicapai oleh seorang hamba.

2. Puasa sebagai satu cara untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas segala nikmat kurnian-Nya. Iaitu dengan menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri yang merupakan diantara nikmat besar kurniaan Allah SWT. Apabila seorang itu meninggalkan perkara tersebut buat sementara waktu, dia akan menyedari akan kepentingannya, ini kerana nikmat akan dihargai sehingga kita kehilanganya. Ini akan menjadikan seorang muslim itu menunaikan tanggungjawab segala nikmat ini dengan merasa syukur kepada Allah. Mensyukuri nikmat adalah satu kewajipan, sama ada dari segi fizikal atau pun Agama. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah swt di dalam firman-Nya tentang puasa dalam surah Al-Baqarah (2) ayat-ayat 183, 184 dan 185. Maksudnya semoga kamu bersyukur kepada-Nya. (Al-Baqarah 2; 185)

3. Puasa  juga dapat menahan dan mengawal nafsu. Ini apabila seorang itu kenyang, ia akan bernafsu, tetapi apabila ia lapar, nafsunya akan terkawal. Kerana itulah  Rasulullah SAW telah bersabda kepada golongan pemuda (maksudnya), Sesiapan yang mampu berkahwin dari kalangan kamu, maka kahwinlah dan sesiapa yang tidak mampu, dia hendaklah berpuasa kerana berpuasa itu dapat mengawal nafsunya [HR Al-Bukhari  Dan Muslim]. Puasa itu dapat menahan diri daripada maksiat.

4. Puasa juga menguatkan azam dan tekad, mengajar kesabaran, membantu menguatkan minda dan menajamkan fikiran. Orang islam sangat memerlukan kekuatan azam dan ketahanan diri yang tinggi melalui lapar dan dahaga disepanjang Bulan Ramadhan. Sesiapa yang mampu cabaran ini ketika puasa, haruslah mampu juga menahan dirinya dari melakukan apa-apa yang boleh menggugat dan melemahkan kekuatan ini selepas berbuka puasa. Dia tidak patut merosakkan pada waktu malam segala kekuatan azam yang telah dibinanya dengan menahan diri dari kesukaanya pada siangnya. Ini kerana dia telah mampu malawan nafsunya dengan kekuatan azam. Maka sesiapa yang tabah dan kuat azamnya akan mampu untuk mengatakan kepada kemungkaran “ ini adalah mungkar” dan akan mampu untuk menghadapi setiap aspek negetif di dalam masyarakatnya. Dia akan menjadi masyarakat yang berguna dan bukan memusnahkanya.

5. Puasa membina akhlak terpuji. Puasa sebagai satu sekolah yang mendidik orang Islam yang berpuasa dengan akhlak yang mulia. Melalui ibadah puasa dia belajar erti taqwa, kebaikan, ihsan, keazaman, kerjasama, tolong menolong, kemurahan, kesabaran, dermawan, kasihan, dan akhlak terpuji yang lain. Ibadah puasa menjadikan seorang itu sentiasa sedar akan Tuhanya.
 Ini akan menjadikan mereka mampu mengawal diri mereka sendiri dari melakukan semua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Puasa itu sebagai pengawal di dalam diri seorang muslim. Maka setiap perbuatan yang dilakukanya akan dipantau oleh pengawal dalam diri. Bolehkah anda bayangkan seorang yang berpuasa, jujur dan benar terhadap Tuhanya tetapi pada masa yang sama menipu, khianat dan tidak benar dengan manusia? Kerana inilah puasa boleh menjadi faktor untuk melahirkan seorang yang berakhlak mulia, membina dan menguatkanya. Inilah hasil latihan yang Allah maksudkan  di dalam kitab-Nya apabila dia berfirman yang bermaksud : Semoga Kamu Bertaqwa [Al-Baqarah 2 : 183]. Puasa menjaga kesihatan jantung / hati dan anggota badan yang lain dan mengembalikan kepada mereka apa-apa yang telah dirampas oleh hawa dan nafsu. Hakikatnya, ia adalah satu jalan yang jelas kearah taqwa.

6. Puasa adalah satu manifesti yang nyata untuk menunjukkan penyatuan orang islam dan persamaanya. Puasa menunjukkan satu persamaan yang sempurna bagi seluruh orang islam,  tanpa ada perbezaan di antara yang kaya dan yang miskin, pemimpin  dan rakyat, yang besar dan yang kecil, yang lelaki dan yang perempuan, semua orang puasa untuk Tuhan mereka, memohon keampunan bagi dosa-dosa mereka, menahan diri dari makan dan minum pada waktu yang sama dan berbuka pada waktu yang sama juga. Mereka semua sama-sama mengalami keperitan lapar dan larangan-larangan lain yang berkaitan dengan amalan puasa ketika mereka menunaikannya pada waktu siangnya. Maka puasa membolehkan masyarakat Islam mencapai satu penyatuan di dalam tujuan, perasaan, kesedaran dan nasib mereka.

7. Puasa juga memberi faedah kepada kesihatan secara umum. Puasa menyihatkan badan. Ia memperbaharui kehidupan manusia dengan mengaktifkan sel lama yang telah digunakan. Ia juga memberi rehat kepada perut dan sistem penghadaman, menjaga badan dan membuang mendapan dan cairan lebihan yang disebabkan oleh makanan dan minuman. Para doktor juga telah menyebut banyak kelebihan tentang puasa. Terdapat banyak lagi keindahan dalam ibadah puasa yang menunjukan kepada keindahan dan kesempurnaan Agama ini. Bahkan, terlalu banyak untuk disebut kesemuanya dalam makalah ini.
Wallahu a’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan