8 KALI IBUKU BERBOHONG DENGANKU...


 Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan.

Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak lapar." PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan waktu senangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit" PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." . PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu

10 AMALAN TERBALIK YG TIDAK DISEDARI


Amalan terbalik yang tidak disedari

antara amalan-amalan yang mengalami tranformasi dari keadaan asal:

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”
(Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim)

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

PERSEDIAAN RAMADHAN ANTARA AGAMA DAN ADAT


Persediaan Ramadhan antara agama dan adat

Kedatangan bulan Ramadhan selalu disambut dengan meriah oleh umat Islam diseluruh dunia dan setiap muslim akan masing-masing membuat persiapan dan persediaan untuk menyambutnya. Ada yang membuat persediaan dengan membeli berpaket-paket buah kurma, ada yang membeli baju melayu dan kopiah atau pakaian solat untuk dipakai sewaktu terawih dan ada pula yang membuat persiapan dengan mengambil ubat-ubatan bagi membolehkan dirinya berpuasa tanpa didatangi haid seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang perempuan.

Bermacam-macam persiapan yang dilakukan oleh orang ramai ketika menyambut kedatangan Ramadhan seolah-olah ianya sudah menjadi satu budaya dan adat yang disambut setiap tahun berbanding kewajipan agama yang lain seperti solat, sedekah, dakwah dan selainnya.  Keagungan bulan Ramadhan memang tidak perlu diceritakan lagi kerana setiap Muslim mengetahui bahawa kedatangan Ramadhan membawa kewajipan puasa yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu yang mendapati (di negeri tempat tinggalnya) kehadiran bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan tersebut.” (Al-Baqarah : 185)

Sebenarnya apakah persediaan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang yang beriman menjelang kedatangan bulan Ramadhan ?  

Jawapannya terletak dalam firman Allah SWT yang menyebut : “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang sangat besar.” (Al-Ahzab : 35)

1. Apa yang penting bagi seorang Muslim bukanlah membuat persiapan kebendaan seperti mengubahsuai rumah, membeli kurma dan menyediakan pakaian yang khas untuk menyambut kewajipan puasa Ramadhan tetapi sebaliknya membuat persiapan dalaman yang merupakan asas penting untuk mendapatkan ‘manfaat’ dari kedatangan Ramadhan iaitu supaya manusia beroleh taqwa !

Firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

2. Persiapan dalaman itu ialah memiliki aqidah yang sahih sebagai seorang muslim kerana tidak guna ibadat seorang yang syirik dan memiliki kekufuran di dalam hatinya sekalipun dia berpuasa kerana Allah SWT menyebut : “Dan tidaklah doa (ibadah) orang-orang kafir itu melainkan ia hanyalah sia-sia belaka.” (Ar-Radd :14)

3. Mempersiapkan niat adalah antara persiapan seorang muslim yang penting selepas memiliki aqidah dan tauhid yang sahih kerana tidaklah diterima sesuatu amalan itu melainkan dengan niat kerana Allah. Ada orang yang berpuasa kerana mahu menguruskan badan, ada yang berpuasa kerana mahu kesihatan dan hanya orang yang beriman berpuasa kerana mahu mendapatkan keredhaan Allah SWT. Abu Umamah Al-Bahili ra meriwayatkan bahawa nabi salallahualaihiwassalam bersabda : "Barangsiapa yang berpuasa sehari dijalan Allah maka Allah akan menjadikan antara dirinya dan neraka itu ada parit yang menghadang seperti langit dan bumi." (Riwayat Tirmidzi no. 1624)

4. Mempersiapkan diri dengan ilmu khususnya tentang memahami hukum-hakam dan kaedah berpuasa yang sahih dari Al-Quran dan As-sunnah. Ini kerana puasa bermaksud menahan diri dari melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWt dan perkara yang membatalkan puasa. Justeru adalah menjadi kewajipan mereka yang berpuasa untuk mengetahui larangan-larangan puasa dan pembatalnya. Disebut di dalam hadith riwayat Abu Daud bahawa barangsiapa yang berbuka puasa tanpa uzur atau kerana rukhsoh maka dia tidak akan dapat mengantikan puasanya itu walaupun dia berpuasa sepanjang waktu.

5. Salah satu diantara faedah puasa ialah supaya dapat merasai penderitaan orang yang susah dan mengalami keperitan mereka yang sentiasa lapar dan dahaga. Puasa juga melatih sabar dan kekuatan jiwa oleh itu adalah perlu bagi umat Islam untuk menahan diri dan bersiap sedia untuk bercampur dengan golongan susah, fakir-miskin dan anak yatim serta kemuncaknya ialah dengan mengeluarkan zakat fitrah kepada mereka menjelang akhir Ramadhan dan sebaik kedatangan Syawal.

6. Puasa diwajibkan kepada mereka yang mampu maka hendaklah kaum muslimin menjaga kesihatan dan kekuatan jasmani mereka sepanjang waktu supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Allah menjadikan kewajipan puasa bukanlah dengan tujuan untuk memudharatkan manusia sebaliknya untuk mendekatkan kita kepada Allah dan supaya menambah amalan dan memberikan kekuatan serta melatih kesabaran di dalam hidup.

7. Sebaik-baik puasa seorang Muslim ialah puasa yang meninggalkan perbuatan keji dan mungkar serta maksiat kerana Allah. Ini kerana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari ada menyebut bahawa Allah SWT tidak berhajat kepada puasa hambaNya yang menahan makan dan minum (lapar dan dahaga) tetapi melakukan perbuatan keji dan dosa. Oleh itu hendaklah kita melatih diri dan bersiap-siap meninggalkan perbuatan keji dan mungkar sebelum menjejakkan kaki ke dalam bulan Ramadhan agar beroleh rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

Abu Hurairah ra meriwayatkan dalam sebuah hadith qudsi bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda, “Allah Azzawajalla berfirman bahawa setiap amalan anak Adam adalah dilakukan untuk diri mereka sendiri kecuali puasa kerana ianya untukKu dan Aku yang akan memberikan ganjarannya. Demi zat yang jiwa Muhammad berada ditanganNya, mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi disisi Allah daripada bau kasturi.” (hadith riwayat Muslim, no.1151.)

WALLAHUA'LAM

RAMADHAN AL-KARIM



ASSALAMUALAIKUM

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan Al-Mubarak menjelma lagi.Seperti namanya bulan ini memang di berkati Allah dan Dia memenuhinya dengan pelbagai keberkatan.Di antara gambaran luar paling menyerlahkan keberkatan itu ialah betapa bersemarak dan makmurnya Ramadhan dengan segala kelainannya berbanding bulan-bulan lain.

Ketekunan dan keghairahan umat Islam menyempurnakan pelbagai amal ibadah bagaikan mencapai tahap puncak di bulan yang mulia ini.Walhal semua tahu betapa amal ibadah untuk taqarrub ilallah merupakan satu tuntutan kepada kita disepanjang kehidupan tanpa dikhususkan pada bulan-bulan tertentu.

Pun begitu, kita turut diajar bahawa setiap amal ibadah itu ada tingkatan ganjaran berbeza mengikut masa dan tempat ia dilaksanakan.Solat di rumah umpamanya tidak sama darjah ganjaran berbanding solat di masjid.Begitulah juga apabila solat yang sama dilaksanakan di Masjidil Haram Makkah, ganjarannya tidak sama.Lebih tidak sama lagi sekiranya dilakukan di bulan Ramadhan.

Begitulah ganjaran tingkatan berbeza yang kita fahami,bagi setiap amal ibadah.Walaupun ia suatu tuntutan sepanjang hayat,dan setiapkali melaksanakannya kita di beri jaminan ganjaran "keuntungannya" menjadi lebih berganda apabila datangnya musim-musim utama seperti Ramadhan.Ada keistimewaan dan kelebihannya tersendiri yang telah di jamin oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya bagi setiap amal pada bulan penuh barakah ini.

Sebab itu Islam menggalakkan umatnya mempertingkatkan amal ibadah di sepanjang bulan Ramadhan.Ia datang hanya sekali dalam setahun.Peluang ini tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa kita mengambil segala daya usaha mengoptimakan manfaat kehadirannya.

Selain menyempurnakan amalan puasa yang wajib,perbanyakkanlah amalan-amalan sunat,terutama yang kerap disenaraikan para Ulama' bersandarkan apa yang pernah di contohkan oleh Rasulullah s.a.w terlebih dahulu.Antaranya seperti beriktikaf di masjid,memberi makan orang berbuka,solat taraweh,bersedekah, membaca  Al-Quran,bertadarus,qiamullail,berzikir,beristighfar,mengerjakan umrah,mohon syurga dan minta agar dajauhkan dari neraka.

Maka ucapkanlah ahlan wasahlan ya Ramadhan Al-Mubarak.Semoga kehadirannya benar-benar memberi keberkatan kepada kita semua.


'KEPIMPINAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BUKAN KEHORMATAN'

Nawawi Abdul Rahman (Al-Faqir Ilallah)
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),Kolej Islam Darul Ridzuan, Sesi 2012/2013
FB: Nawawi Abdul Rahman (Uwais Al-Qarni)
Emel: musafir_siasah@yahoo.com

BAJET BAGUS, IS SO GOOD!

BAJET BAGUS, IS SO GOOD!

1. "Bajet ah kau ni post Islamik2".
Jawab,= "Memang, memang aku bajet nak masuk syurga. Kau bajet nak masuk belah mana?"

2. "Takyahlah nak tunjuk bagus, menyampah aku!".
Jawab,= "Aku tengah cuba nak baguskan diri sendiri sebab skrg aku rasa aku macam sampah depan Tuhan."

3. "Berdakwah konon."
Jawab,= "Bukan konon, memang aku tengah dakwah diri aku sendiri."

4. "Bukannya best pun status tu. Poyo ah!"
Jawab,= "Memang tak best sebab aku bukannya nak jual buku. Aku update status jak pun. Biar poyo skrg, jgn poyo depan Tuhan di akhirat depan."

5. "Aku block je la kau ni."
Jawab,= "Alhamdulillah, jika itu yg terbaik utk iman kau."
---------
Dan tidak lah aku menulis, melainkan kerana aku mencari ampunan Tuhanku yang Maha Luas.
Wa astaghfirullah wa atubu ilaik..