10 AMALAN TERBALIK YG TIDAK DISEDARI


Amalan terbalik yang tidak disedari

antara amalan-amalan yang mengalami tranformasi dari keadaan asal:

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”
(Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim)

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

PERSEDIAAN RAMADHAN ANTARA AGAMA DAN ADAT


Persediaan Ramadhan antara agama dan adat

Kedatangan bulan Ramadhan selalu disambut dengan meriah oleh umat Islam diseluruh dunia dan setiap muslim akan masing-masing membuat persiapan dan persediaan untuk menyambutnya. Ada yang membuat persediaan dengan membeli berpaket-paket buah kurma, ada yang membeli baju melayu dan kopiah atau pakaian solat untuk dipakai sewaktu terawih dan ada pula yang membuat persiapan dengan mengambil ubat-ubatan bagi membolehkan dirinya berpuasa tanpa didatangi haid seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang perempuan.

Bermacam-macam persiapan yang dilakukan oleh orang ramai ketika menyambut kedatangan Ramadhan seolah-olah ianya sudah menjadi satu budaya dan adat yang disambut setiap tahun berbanding kewajipan agama yang lain seperti solat, sedekah, dakwah dan selainnya.  Keagungan bulan Ramadhan memang tidak perlu diceritakan lagi kerana setiap Muslim mengetahui bahawa kedatangan Ramadhan membawa kewajipan puasa yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu yang mendapati (di negeri tempat tinggalnya) kehadiran bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan tersebut.” (Al-Baqarah : 185)

Sebenarnya apakah persediaan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang yang beriman menjelang kedatangan bulan Ramadhan ?  

Jawapannya terletak dalam firman Allah SWT yang menyebut : “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang sangat besar.” (Al-Ahzab : 35)

1. Apa yang penting bagi seorang Muslim bukanlah membuat persiapan kebendaan seperti mengubahsuai rumah, membeli kurma dan menyediakan pakaian yang khas untuk menyambut kewajipan puasa Ramadhan tetapi sebaliknya membuat persiapan dalaman yang merupakan asas penting untuk mendapatkan ‘manfaat’ dari kedatangan Ramadhan iaitu supaya manusia beroleh taqwa !

Firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

2. Persiapan dalaman itu ialah memiliki aqidah yang sahih sebagai seorang muslim kerana tidak guna ibadat seorang yang syirik dan memiliki kekufuran di dalam hatinya sekalipun dia berpuasa kerana Allah SWT menyebut : “Dan tidaklah doa (ibadah) orang-orang kafir itu melainkan ia hanyalah sia-sia belaka.” (Ar-Radd :14)

3. Mempersiapkan niat adalah antara persiapan seorang muslim yang penting selepas memiliki aqidah dan tauhid yang sahih kerana tidaklah diterima sesuatu amalan itu melainkan dengan niat kerana Allah. Ada orang yang berpuasa kerana mahu menguruskan badan, ada yang berpuasa kerana mahu kesihatan dan hanya orang yang beriman berpuasa kerana mahu mendapatkan keredhaan Allah SWT. Abu Umamah Al-Bahili ra meriwayatkan bahawa nabi salallahualaihiwassalam bersabda : "Barangsiapa yang berpuasa sehari dijalan Allah maka Allah akan menjadikan antara dirinya dan neraka itu ada parit yang menghadang seperti langit dan bumi." (Riwayat Tirmidzi no. 1624)

4. Mempersiapkan diri dengan ilmu khususnya tentang memahami hukum-hakam dan kaedah berpuasa yang sahih dari Al-Quran dan As-sunnah. Ini kerana puasa bermaksud menahan diri dari melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWt dan perkara yang membatalkan puasa. Justeru adalah menjadi kewajipan mereka yang berpuasa untuk mengetahui larangan-larangan puasa dan pembatalnya. Disebut di dalam hadith riwayat Abu Daud bahawa barangsiapa yang berbuka puasa tanpa uzur atau kerana rukhsoh maka dia tidak akan dapat mengantikan puasanya itu walaupun dia berpuasa sepanjang waktu.

5. Salah satu diantara faedah puasa ialah supaya dapat merasai penderitaan orang yang susah dan mengalami keperitan mereka yang sentiasa lapar dan dahaga. Puasa juga melatih sabar dan kekuatan jiwa oleh itu adalah perlu bagi umat Islam untuk menahan diri dan bersiap sedia untuk bercampur dengan golongan susah, fakir-miskin dan anak yatim serta kemuncaknya ialah dengan mengeluarkan zakat fitrah kepada mereka menjelang akhir Ramadhan dan sebaik kedatangan Syawal.

6. Puasa diwajibkan kepada mereka yang mampu maka hendaklah kaum muslimin menjaga kesihatan dan kekuatan jasmani mereka sepanjang waktu supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Allah menjadikan kewajipan puasa bukanlah dengan tujuan untuk memudharatkan manusia sebaliknya untuk mendekatkan kita kepada Allah dan supaya menambah amalan dan memberikan kekuatan serta melatih kesabaran di dalam hidup.

7. Sebaik-baik puasa seorang Muslim ialah puasa yang meninggalkan perbuatan keji dan mungkar serta maksiat kerana Allah. Ini kerana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari ada menyebut bahawa Allah SWT tidak berhajat kepada puasa hambaNya yang menahan makan dan minum (lapar dan dahaga) tetapi melakukan perbuatan keji dan dosa. Oleh itu hendaklah kita melatih diri dan bersiap-siap meninggalkan perbuatan keji dan mungkar sebelum menjejakkan kaki ke dalam bulan Ramadhan agar beroleh rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

Abu Hurairah ra meriwayatkan dalam sebuah hadith qudsi bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda, “Allah Azzawajalla berfirman bahawa setiap amalan anak Adam adalah dilakukan untuk diri mereka sendiri kecuali puasa kerana ianya untukKu dan Aku yang akan memberikan ganjarannya. Demi zat yang jiwa Muhammad berada ditanganNya, mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi disisi Allah daripada bau kasturi.” (hadith riwayat Muslim, no.1151.)

WALLAHUA'LAM

RAMADHAN AL-KARIM



ASSALAMUALAIKUM

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan Al-Mubarak menjelma lagi.Seperti namanya bulan ini memang di berkati Allah dan Dia memenuhinya dengan pelbagai keberkatan.Di antara gambaran luar paling menyerlahkan keberkatan itu ialah betapa bersemarak dan makmurnya Ramadhan dengan segala kelainannya berbanding bulan-bulan lain.

Ketekunan dan keghairahan umat Islam menyempurnakan pelbagai amal ibadah bagaikan mencapai tahap puncak di bulan yang mulia ini.Walhal semua tahu betapa amal ibadah untuk taqarrub ilallah merupakan satu tuntutan kepada kita disepanjang kehidupan tanpa dikhususkan pada bulan-bulan tertentu.

Pun begitu, kita turut diajar bahawa setiap amal ibadah itu ada tingkatan ganjaran berbeza mengikut masa dan tempat ia dilaksanakan.Solat di rumah umpamanya tidak sama darjah ganjaran berbanding solat di masjid.Begitulah juga apabila solat yang sama dilaksanakan di Masjidil Haram Makkah, ganjarannya tidak sama.Lebih tidak sama lagi sekiranya dilakukan di bulan Ramadhan.

Begitulah ganjaran tingkatan berbeza yang kita fahami,bagi setiap amal ibadah.Walaupun ia suatu tuntutan sepanjang hayat,dan setiapkali melaksanakannya kita di beri jaminan ganjaran "keuntungannya" menjadi lebih berganda apabila datangnya musim-musim utama seperti Ramadhan.Ada keistimewaan dan kelebihannya tersendiri yang telah di jamin oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya bagi setiap amal pada bulan penuh barakah ini.

Sebab itu Islam menggalakkan umatnya mempertingkatkan amal ibadah di sepanjang bulan Ramadhan.Ia datang hanya sekali dalam setahun.Peluang ini tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa kita mengambil segala daya usaha mengoptimakan manfaat kehadirannya.

Selain menyempurnakan amalan puasa yang wajib,perbanyakkanlah amalan-amalan sunat,terutama yang kerap disenaraikan para Ulama' bersandarkan apa yang pernah di contohkan oleh Rasulullah s.a.w terlebih dahulu.Antaranya seperti beriktikaf di masjid,memberi makan orang berbuka,solat taraweh,bersedekah, membaca  Al-Quran,bertadarus,qiamullail,berzikir,beristighfar,mengerjakan umrah,mohon syurga dan minta agar dajauhkan dari neraka.

Maka ucapkanlah ahlan wasahlan ya Ramadhan Al-Mubarak.Semoga kehadirannya benar-benar memberi keberkatan kepada kita semua.


'KEPIMPINAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BUKAN KEHORMATAN'

Nawawi Abdul Rahman (Al-Faqir Ilallah)
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),Kolej Islam Darul Ridzuan, Sesi 2012/2013
FB: Nawawi Abdul Rahman (Uwais Al-Qarni)
Emel: musafir_siasah@yahoo.com

BAJET BAGUS, IS SO GOOD!

BAJET BAGUS, IS SO GOOD!

1. "Bajet ah kau ni post Islamik2".
Jawab,= "Memang, memang aku bajet nak masuk syurga. Kau bajet nak masuk belah mana?"

2. "Takyahlah nak tunjuk bagus, menyampah aku!".
Jawab,= "Aku tengah cuba nak baguskan diri sendiri sebab skrg aku rasa aku macam sampah depan Tuhan."

3. "Berdakwah konon."
Jawab,= "Bukan konon, memang aku tengah dakwah diri aku sendiri."

4. "Bukannya best pun status tu. Poyo ah!"
Jawab,= "Memang tak best sebab aku bukannya nak jual buku. Aku update status jak pun. Biar poyo skrg, jgn poyo depan Tuhan di akhirat depan."

5. "Aku block je la kau ni."
Jawab,= "Alhamdulillah, jika itu yg terbaik utk iman kau."
---------
Dan tidak lah aku menulis, melainkan kerana aku mencari ampunan Tuhanku yang Maha Luas.
Wa astaghfirullah wa atubu ilaik..








ANDA PASTI MENANGIS.......!!!

Pagi Jumaat.... Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain. Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia" Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah" "Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat" "Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun" Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini" Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?" Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!" "Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?" Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi. "Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu" Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. "Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi". "Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu" "Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar". "Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi". "Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka" Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara kamu! Subhanallah.... Wallahu`alam.